Wednesday, February 19, 2014

"PERKAITAN ANTARA INDIVIDU, MASYARAKAT DAN BUDAYA"


 tugasan semester 2 tahun 1 sesi 2012/2013 : SKPD 1013 PENGANTAR SAINS SOSIAL





SKPD 1013
PENGANTAR SAINS SOSIAL

“JELASKAN PERHUBUNGAN ANTARA INDIVIDU, MASYARAKAT, DAN BUDAYA”


NAMA AHLI KUMPULAN :
MOHAMAD FARID BIN EMBOK MOSIK                                A141184
MASYITA BINTI MOHD HADI                                                  A141089
MOHD HAFIZ BIN MOHD HARRIS                                          A141241
NAMA PENSYARAH :
PUAN KALTHUM BINTI IBRAHIM


SENARAI KANDUNGAN


NO
SENARAI
HALAMAN
1.0
PENGENALAN
1
2.0
INDIVIDU
2
3.0
MASYARAKAT
8
4.0
BUDAYA
15
5.0
ISU-ISU BERKAITAN INDIVIDU, MASYARAKAT, DAN BUDAYA
20
6.0
KESIMPULAN
23
7.0
RUJUKAN
24


2.0 INDIVIDU
2.1  DEFINISI INDIVIDU

Ensiklopedia bebas, Wikipedia bahasa Indonesia menyatakan istilah individu itu bermaksud unit terkecil dalam kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat sejagat.  Dalam ilmu sains sosial pula, individu pula bermaksud bahagian-bahagian kecil dalam kelompok masyarakat yang besar. Antara contoh yang dapat dilihat dengan mudah adalah dalam sesebuah keluarga. Pada kebiasaannya, sesebuah keluarga itu mestilah mempunyai ahli-ahli yang khusus, barulah ianya dapat dipanggil sebagai sebuah keluarga, iaitu terdiri daripada ayah, ibu, abang, kakak, adik dan sebagainya. Ayah, ibu, dan ahli keluarga yang lain itu merupakan individu dalam kelompok sosial tersebut. Ahli dalam keluarga ini  tidak dapat dipecah-pecahkan lagi kepada unit yang lebih kecil kerana inilah yang membentuk sebuah keluarga, kemudiannya membentuk kelompok yang lebih besar lagi, iaitu sebuah masyarakat.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, individu itu bermaksud,

“orang perseorangan, manusia seorang diri, terutamanya apabila dianggap sebagai berbeza daripada yang lain: tidak dapat kita nafikan betapa besar pengaruh buku ke atas seseorang ~; keindividuan sifat yang membezakan seseorang daripada yang lain: ia tidak membenarkan anggota-anggota masyarakat menonjolkan-nya”.

Maksud di atas mengukuhkan lagi bahawa individu itu merupakan manusia yang memiliki ciri-ciri tertentu yang berbeza-beza dengan individu lain. Henson dan Eller (1999), dalam bukuya Educational Psychology for Effective Teaching, menerangkan perbezaan individu merujuk kepada ciri-ciri atau sifat-sifat manusia yang mempunyai potensi sama ada memajukan keupayan seseorang (seperti optimistic, sentiasa berani mencuba) atau membataskan keupayaan seseorang untuk belajar dalam persekitaran sekolah (seperti takut melakukan kesilapan, takut bertanya).

Papalia (2001) pula menyatakan seseorang manusia itu berbeza dari segi jantina, berat, bentuk badan, kesihatan tahap tenaga, personaliti dan emosi. Faktor persekitaran pula seperti gaya hidup keluarga, sosio-ekonomi keluarga, persekitaran sekolah dan rumah serta komuniti masyarakat di sekelilingnya.


2.2 TEORI-TEORI INDIVIDU
1)      TEORI FUNGSIONALISME
Teori ini mengandaikan pelbagai aspek atau bahagian dalam sesuatu masyarakat mempunyai fungsi-fungsi tersendiri tetapi ia saling berkaitan dan bergantungan untuk mencapai keharmonian, kesepaduan, kestabilan, dan keseimbangan dalam proses pembentukan dan perkembangan masyarakat. Dalam mencapai keseimbangan yang diinginkan, perubahan yang berlaku pada sesuatu bahagian akan menyebabkan berlakunya perubahan pada bahagian-bahagian lain. Bahagian-bahagian yang dimaksudkan adalah institusi-institusi sosial, amalan-amalan dan pelbagai proses sosial.
Teori fungsionalisme menyamakan masyarakat dengan organisma biologi. Teori ini beranggapan bahawa manusia merupakan biologi yang dapat menyara hidup mereka  dan dapat mengekalkan keseimbangan apabila menghadapi alam sekitarnya yang mengganggu. Analoginya adalah seperti badan manusia yang mempunyai pelbagai organ yang mempunyai fungsi masing-masing dan saling bekerjasama dalam memastikan tubuh badan menjadi sihat. Begitu juga dalam konteks kehidupan manusia dalam masyarakat, institusi sosial, amalan, dan proses-proses sosial mestilah saling bergantungan agar dapat memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat. Hal ini akan membantu mewujudkan kesinambungan dan mengekalkan struktur dalam masyarakat itu sendiri.
Oleh itu, institusi sosial amalan sosial dan proses-proses sosial menyumbang  kepada kestabilan dan kesepaduan keseluruhan masyarakat dan anggota-anggotanya dan bukannya kepada individu-individu tertentu dalam sesebuah masyarakat itu.

2)      TEORI KONFLIK
Teori konflik ini mementingkan peranan konflik dalam proses perkembangan masyarakat. Teori ini muncul disebabkan reaksi kepada teori fungsionalisme yang tidak dapat memberi penerangan jelas mengenai perubahan dan perkembangan masyarakat dari segi konflik sosial.
Konflik bermaksud pertentangan secara langsung dan sedar antara individu atau kumpulan untuk mencapai matlamat secara bersama. Unsur-unsur penting mengenai proses konflik dalam kehidupan bersosial ini melibatkan proses pertentangan, permusuhan, kekalahan, dan kemenangan, kuasa dan kepentingan. Konflik merupakan perkara biasa yang sering terjadi dalam kehidupan bermasyarakat.
Thomas Hobbes, pengkaji dan falsafah dalam sejarah sains sosial barat mula-mula sekali menarik perhatian kita kepada unsur konflik dalam perkembangan masyarakat. Beliau berpendapat bahawa manusia itu sentiasa berkonflik antara satu sama lain, (“a war of all againt all”).
Karl Marx pula mengatakan punca konflik adalah daripada hubungan sosial dan proses pengeluaran. Konflik ini berlaku kerana terdapat dua kumpulan manusia yang bertentangan dalam proses pengeluaran, iaitu kumpulan pemilik sumber pengeluaran yang digelar Borjuis dan kumpulan pekerja yang digelar Ploritariat. Konflik ini berlaku kerana kumpulan Borjuis mengeksploitasi para pekerja dengan memberi upah yang tidak setimpal dengan tenaga kerja buruh mereka. Manakala, pekerja pula membantah kerana upah yang diberikan sedikit dan keadaan tempat kerja yang kurang memuaskan.
Mengikut pendapat para pengkaji lain, konflik adalah fenomena sosial yang penting. Lewis Coser (1956) dalam bukunya bertajuk Functions of Social Conflict berpendapat bahawa konflik bukan sahaja bertugas untuk memecah-belahkan susunan sosial masyarakat, tetapi ia memelihara susunan sosial yang sedia ada.
Konflik juga dikatakan turut memperkuat organisasi sosial. Menurut Ralf Dahrendorf (1959) dalam bukunya Class dan Class Conflict in Industrial Society, menyatakan bahawa konflik berlaku antara kumpulan utama sebagaimana yang dinyatakan oleh Marx, iaitu terdapat kumpulan buruh yang dibahagi-bahagikan mengikut kepakaran yang berlainan. Dahrendorf berpendapat bahawa proses konflik ini menjadi rumit dengan adanya pelbagai kumpulan dan juga proses mobiliti sosial, sebagai contoh mobiliti manusia akibat pertukaran pekerjaan. Beliau menganggap konflik sosial mempunyai dua peranan iaitu menyumbang kepada integrasi sisitem sosial dan membawa kepada perubahan sosial.

2.3  PERANAN INDIVIDU

                   I.            INDIVIDU DAN ALLAH
Sebagai hamba Allah s.w.t yang daif, seseorang perlulah sentiasa merendah diri dan takut kepada penciptanya. Dengan adanya perasaan takwa dan taat pada segala perintah yang diturunkan-Nya. Segala perkara-perkara mungkar sama ada meliputi dosa-dosa kecil mahupun yang besar dapat dielakkan daripada berlaku.
Menurut keimanan yang tinggi kepada Allah mampu membendung manusia daripada melakukan perbuatan zina. Keimanan yang tinggi mampu mengawal nafsu dan keinginan manusia yang berteraskan kebendaan. Perbuatan zina merupakan salah satu perbuatan yang tergolong dalam dosa-dosa besar yang amat dimurkai Allah s.w.t. Seseorang yang sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan seikhlas hati pasti mendapat darjah keimanan yang tinggi lalu dapat mengawal nafsu daripada melakukan amalan terkutuk itu.
Orang-orang yang beriman akan berasa aman dan tenteram. Mereka akan berasa bersyukur dengan apa-apa yang telah ditentukan oleh Qada’ dan Qadar Allah s.w.t. Sebagai contoh, jika seseorang itu sudah terjebak dengan penzinaan dan akhirnya mengandungkan anak yang tidak sah taraf. Mereka akan berusaha memohon keampunan daripada yang Esa serta percaya bahawa dugaan yang dilaluinya itu adalah satu ujian untuk menguji keimanan dan kesabarannya.
Akhirnya, jika keimanan yang tinggi kepada Allah sudah tertanam dalam diri individu yang terlibat, ia akan berusaha membendung diri, keluarga dan masyarakat dari terjebak dengan perbuatan mungkar yang pernah dilakukannya. Justeru itu masalah pembuangan bayi akan dapat dikurangkan dan seterusnya membendungnya dari terus menjadi lebih serius.

                II.            INDIVIDU DAN MASYARAKAT
Hubungan individu dengan masyarakat juga penting. Hubungan ini perlu kerana tidak ada manusia di dunia ini mampu hidup bersendirian tanpa bantuan daripada orang lain. Setiap manusia memerlukan individu lain dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Justeru itu, pematuhan terhadap perundangan yang diciptakan Allah s.w.t perlu dalam mengatur cara manusia itu berinteraksi antara satu sama lain bagi membentuk keluarga, jiran, masyarakat, negara, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya juga termasuk dalam bidang hubungan individu dengan individu lain. Kesempurnaan sesebuah masyarakat hanya akan tercapai dengan adanya sikap saling tolong-menolong, bekerjasama, dan perpaduan dalam kalangan mereka.
Hal ini dapat diselaraskan jika ada undang-undang yang dilaksanakan. Dengan adanya pelaksanaan peraturan tersebut, maka hak  setiap anggota masyarakat atau individu akan terselamat daripada pencerobohan daripada pihak lain. Melalui kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini, komponen masyarakat perlulah memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya, iaitu melaksanakan segala macam cara atau kaedah yang dapat membendung masalah sosial ini daripada terus berleluasa.
Setiap ahli dalam institusi keluarga memainkan peranan yang amat besar dalam membendung masalah sosial ini, terutama ibu dan bapa kerana keluarga merupakan komponen masyarakat yang paling hampir dengan individu remaja. Pendidikan awal mengenai asas-asas agama perlulah diterapkan sejak kecil kepada setiap ahli keluarga. Hal ini demikian kerana pendedahan awal mengenai ilmu-ilmu agama ini mampu membina asas keimanan yang kukuh dalam diri seseorang individu itu terhadap Allah yang menciptakan sekalian alam.

             III.            PENGHASILAN KEBUDAYAAN
Cara hidup dan cara berfikir sesuatu kumpulan itu adalah sesuatu yang dipanggil sebagai kebudayaan. Mengikut apa yang telah dibincangkan, manusia yang berhubung antara individu dengan individu lain akan menghasilkan sebuah budaya yang sesuai dengan gaya hidup bermasyarakat yang diamalkan. Dalam konteks kes pembuangan bayi yang berlaku kini, peruntukan undang-undang yang dibuat oleh masyarakat, pemantauan daripada pihak keluarga dan masyarakat dalam akan menghasilkan budaya saling bekerjasama, tolong-menolong dan permuafakatan dalam sesebuah institusi masyarakat itu sendiri. Penghasilan budaya ini akan menghasilkan satu nilai sosial yang berteraskan kepercayaan di mana akan wujud hubungan yang amat baik dalam kalangan masyarakat (e’spirit d’corp). apabila semangat ini wujud dalam setiap diri individu yang ada, maka budaya-budaya asing dan keji yang bertentangan dengan syarak dan norma masyarakat akan mudah dicegah dan dibendung sepertimana budaya pembuangan bayi yang sudah berlaku ini.




3.0 MASYARAKAT
3.1 DEFINISI MASYARAKAT
Menurut wikipedia bahasa Malaysia, masyarakat merupakan istilah yang menerangkan komuniti manusia yang tinggal bersama-sama. Masyarakat juga dikatakan sebagai jaringan perhubungan antara pelbagai individu. Perkataan masyarakat (society) ini berasal daripada Latin iaitu Societas yang bermaksud “perhubungan baik dengan orang lain”. Perkataan societas diambil dari socius yang bererti “teman”. Maka makna masyarakat itu adalah berkait rapat dengan apa yang dikatakan sosial. Ini bermakna telah tersirat dalam kata masyarakat itu bahawa ahli-ahlinya mempunyai kepentingan dan matlamat yang sama. Maka masyarakat selalu digunakan untuk menggambarkan rakyat sesebuah masyarakat.
Para ahli antropologi sosial pula selalunya merujuk masyarakat pada orang yang buta huruf, menghasilkan pengeluaran sendiri, mempunyai adat istiadat, mempunyai tempat tinggal khusus, dan mempertahankan peraturan sosial. Manakala pendukung fahaman konflik seperti Robert Lynd, C. Wright Mills, Lewis Coser (1947) dan Dahrendorf (1959), melihat masyarakat sebagai kumpulan berbagai-bagai institusi seperti ekonomi, politik, pendidikan yang sering tidak berpadu antara satu sama lain. Selain itu, ada juga yang menggunakan istilah masyarakat sebagai sinonim dengan negara atau peradaban (civilization).
Menurut Peter L. Berger (1929), definisi masyarakat adalah suatu keseluruhan yang kompleks hubungan manusia yang luas sifatnya. Pengertian keseluruhan kompleks dalam definisi tersebut bermaksud keseluruhan itu terdiri atas bahagian-bahagian yang membentuk suatu kesatuan. Sebagai contohnya, dalam tubuh manusia terdapat bahagian-bahagian yang membentuk suatu sistem seperti jantung, hati, dan paru-paru. Kesatuan daripada bahagian-bahagian tersebut membentuk sistem yang dinamakan manusia. Begitu juga dengan masyarakat, di mana didalamnya terdiri daripada bahagian-bahagian yang membentuk hubungan sosial. Contohnya, perhubungan antara guru dengan murid, hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak,hubungan atasan dengan bawahan, yang keseluruhan hubungan yang luas itu disebut sebagai masyarakat. Hubungan-hubungan ini walaubagaimanapun berjalan mengikut suatu sistem yang teratur. Contohnya, anak murid yang menghormati guru, orang bawahan menghormati orang atasan dan sebagainya. oleh itu, Peter L. Berger juga mendefinisikan masyarakat yang menunjukkan pada suatu sistem interaksi. Interaksi ini membawa kepada maksud “tindakan” (action) yang terjadi paling kurang antara dua orang yang pengaruh mempengaruhi perilakunya.

Menurut Gidding (1904) pula dalam bukunya Reading in Descriptive and Historical Sociology (1904), mentakrifkan masyarakat sebagai a group of individuals cooperating for the achievement of any subject of common interest or utility. Sedangkan Westernmark (Wwesternmark, 1894) membataskannya kepada a group of individuals living in a cooperative live. Sementara McIver (McIver, 1961) dalam bukunya society menggambarkan masyarakat sebagai the system of social relationship in and through which we live.
Berdasarkan definisi-definisi itu dan definisi lain yang dikemukakan sehingga termasuklah yang dikemukakan Gillian dan Gillian (1954: 139), maka dapatlah dirumuskan bahawa masyarakat itu merupakan kesatuan hidup makhluk-makhluk manusia yang terikat oleh suatu sistem adat istiadat yang tertentu (Koentjaraningrat, 1970: 82).’


3.2 KONSEP PENTING MASYARAKAT
Dari perspektif sosiologi, terdapat dua pembahagian atau dua konsep penting tentang masyarakat. Dua konsep penting ini dikemukakan oleh seorang ahli sosiologi German bernama Ferdinand Tonnies. Dua konsep masyarakat yang diperkenalkan oleh beliau ialah konsep masyarakat Gemeinschaft dan masyarakat Gessellschaft. Dua konsep beliau ini amat terkenal dalam mengelaskan jenis-jenis masyarakat, susunan sosialnya, dan juga hubungan-hubungan sosial yang terdapat dalam sesebuah masyarakat itu.

3.2.1 MASYARAKAT GEMEINSCHAFT
Masyarakat Gemeinschaft dicirikan sebagai golongan masyarakat yang memiliki hubungan yang kuat antara ahli keluarga, persahabatan, dan perkumpulan. Gemeinschaft juga dikenali sebagai komuniti yang kecil bentuk dan saiznya.
Masyarakat Gemeinschaft dicirikan sebagai bersifat primery iaitu sebuah perhubungan yang rapat dan bersemuka. Perhubungan dalam masyarakat Gemeinschaft ini adalah lebih intim secara tradisi dan kegiatan kerana memiliki suatu matlamat yang sama.sebagai contohnya, perhubungan individu terhadap ahli keluarga dan saudara mara dan mereka tinggal bersama dalam satu tempoh masa yang lama. anggota-anggota ini memiliki idea yang sama seperti dari segi keagamaan dan sebagainya. oleh itu, dikatakan wujud perasaan kekitaan dalam anggota masyarakat berbentuk Gemeinschaft ini.
Kesimpulannya, masyarakat Gemeinschaft ini merupakan sebuah kelompok masyarakat yang mempunyai hubungan sosial berasaskan kekeluargaan dan ikatan persahabatan yang rapat dimana melalui perhubungan ini, telah wujud perasaan kekitaan dalam kalangan anggotanya. Institusi yang terpenting pula merupakan institusi keluarga dimana setiap keluarga mempunyai peranan. Justeru itu, masyarakat berbentuk Gemeinschaft ini sentiasa membantu dan memberi perakuan yang kuat kepada nilai-nilai sosial.

3.2.2 MASYARAKAT GESSELLSCHAFT
Masyarakat Gesellschaft ini pula merupakan terbalikan daripada masyarakat Gemeinschaft. Gesellschaft dikatakan sebagai Society of Contract iaitu dimana perhubungan antara masyarakatnya adalah lebih kepada berbentuk perjanjian dan lebih formal. Oleh yang demikian, hubungan antara anggota masyarakat tidaklah kuat, ciri-ciri kemesraan dan unsur keramahan adalah tidak wujud.
Hubungan-hubungan sosial yang wujud pula adalah lebih khusus dan impersonal. Ini bermakna interraksi antara anggotanya adalah individualistik dan saling tidak percaya.  Oleh itu, ahli dalam anggota masyarakat ini saling bersaingan antara satu sama lain dan bertujuan untuk kepentingan individu sahaja. Interaksi dan tanggungjawab pula berdasarkan perjanjian iaitu hubungan yang bersifat sekunder. Hal ini menjadikan anggota masyarakatnya akan sentiasa bersaing sekaligus menjadikan mereka lebih bersifat individualistik. Hubungan Gesellschaft menurut hujah Tonnies, telah menjadi dominan dalam masyarakat moden.
Pola interaksi bentuk Gessellschaft ini pula terdapat pembahagian tugasan dan peranan yang khusus. Terdapat institusi lain yang melibatkan individu selain keluarga. Ikatan antara dua orang anggota bergantung kepada matlamat organisasi dan minat peribadi. Tingkah laku dibentuk mengikut peraturan dan undang-undang kawalan sosial merupakan tanggungjawab pihak-pihak yang berkuasa.

3.3 PERKEMBANGAN EVOLUSI MASYARAKAT.
Dalam melihat evolusi sesebuah masyarakat, perspektif sosiologi menjuruskan kepada beberapa tahap atau peringkat iaitu proses evolusi masyarakat. Evolusi masyarakat ini merupakan sebuah perubahan atau peralihan tahap sesuatu masyarakat ke arah yang lebih baik. Perkembangan evolusi masyarakat adalah diukur melalui tahap perkembangan dan kegiatan-kegiatan ekonomi sesebuah masyarakat. Perkembangan evolusi masyarakat ini terbahagi kepada empat aspek.

3.3.1 MASYARAKAT MEMBURU DAN MENGUMPUL
Masyarakat memburu dan bercucuk tanam ini merupakan masyarakat yang menggunakan teknologi mudah untuk memburu binatang dan bercucuk tanam. Masyarakat ini muncul bersama-sama dengan kemunculan manusia hingga kira-kira 10 ribu tahun lampau.
Dari segi populasi, mereka tinggal dalam kelompok-kelompok yang kecil. Selalunya saiz kelompok ini tidak melebihi 15 orang. Kebanyakan anggota pula mempunyai hubungan persaudaraan.
Kegiatan ekonomi utama mereka ialah memburu dan bercucuk tanam. Mereka memburu menggunakan alat-alat primitif seperti tombak, dan panah. Begitu juga dalam masyarakat bercucuk tanam, mereka mengguanakan kayu dan sebagainya. kaum lelaki akan memburu binatang manakala wanita pula bercucuk tanam. Kebanyakan masyarakat ini hidup berpindah-randah.
Kepercayaan mereka terhadap kuasa ghaib tetap ada walaupun mereka kurang pengetahuan tentangnya. Mereka menganuti agama ‘animisme’ dan mempunyai ‘shaman’ iaitu seorang yang mahir tentang hal keagamaan. Shaman amat dipercayai dalam menentukan kejayaan, keselamatan dan perlindungan semasa memburu.

3.3.2 MASYARAKAT BERKEBUN DAN MENTERNAK
Masyarakat ini wujud antara 10 ribu tahun dahulu menggantikan masyarakat pemburu. Peralihan ini mengambil masa beribu-ribu tahun. masyarakat ini merupakan masyarakat yang mengusahakan ladang menggunakan alat tangan yang mudah. Masyarakat postoral pula ialah masyarakat yang kehidupan mereka bersumberkan binatang ternakan. Masyarakat perkebunan pertama muncul di Timur Tengah dan Asia.
Populasi mereka lebih kompleks dan mereka tinggal dalam saiz masyarakat yang lebih besar mencapai 1000 orang. Kebanyakan mereka mempunyai hubungan persaudaraan. Mereka hidup berpindah-randah untuk mencari tanah subur dan kawasan penternakan yang baru.
Kegiatan ekonomi utama mereka menternak dan berkebun. Masyarakat perkebunan lebih nayak di Timur Tengah dan Asia. Masyarakat penternak pula banyak di Eropah dan Afrika. Di sesetengah tempat pula mereka menggabungkan penternakan dengan perkebunan. Ini menghasilkan lebih banyak sumber makanan. Selain itu, mereka juga membuat kerja-kerja sampingan seperti kerja tangan misalnya menjahit dan sebagainya.

3.3.3 MASYARAKAT PERTANIAN
Awal kemunculan masyarakat pertanian ini adalah di kawasan timur tengah. Masyarakat ini terlibat dalam aktiviti pertanian dikawasan yang luas seperti ladang dan menggunakan binatang dalam pembajakan. Populasi masyarakat ini adalah lebih tertumpu di satu-satu kawasan atau bandar dengan bilangan penduduk sekitar 100 000 orang. Kadar kelahiran dan kematian adalah tinggi disebabkan mereka tinggal dalam kelompok yang ramai. Punca utama kematian mereka ialah penyakit dan peperangan.
Kegiatan eknomi mereka dipengaruhi oleh kepercayaan agama mereka. Kebanyakan anggota masyarakat menjalankan aktiviti pertanian. Penggunaan duit yang mereka perkenalkan membuka peluang perniagaan bagi pedagang. Dalam masyarakat ini pembahagian buruh mula muncul disebabkan terdapat banyak pekerjaan.
Kegiatan agama mereka lebih kompleks kerana munculnya agama islam, kristian dan sebagainya. agama memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka.aktiviti ekonomi dan kebudayaan antaranya memperlihatkan pengaruh yang kuat dari sudut kepercayaannya.

3.3.4 MASYARAKAT INDUSTRI
Masyarakat industri merupakan masyarakat yang menggunakan sumber semula dan alat canggih untuk menghasilkan barangan. Kekuatan tenaga manusia kurang digunakan dan kuasa mesin lebih diutamakan. Masyarakat ini muncul sekitar 1750 sehingga kini. Kemunculan masyarakat ini hasil daripada revolusi industri.
Populasi mereka meningkat dengan cepat dan tinggal dalam saiz yang besar yang terdiri daripada berjuta-juta orang. Tahap kesihatan mereka lebih baik manakala tahap kematian berkurangan. Ini kerana teknologi perubatan yang lebih baik digunakan dalam mengubati penyakit.kebanyakan anggota masyarakat ini tinggal di bandar-bandar besar dan maju.
Kegiatan ekonomi mereka juga kompleks. Mereka bekerja dengan saling bergantungan antara satu sama lain. Pengkhususan buruh amat jelas dalam menjalani hidup mereka seharian. Kebanyakan mereka pula dikenali mengikut pekerjaan mereka seperti doktor, polis, peguam dan sebagainya. sistem ekonomi yang diamalkan pula berbeza-beza mengikut kepercayaan mereka seperti kapitalis, sosialis, dan campuran.




4.1 DEFINISI BUDAYA
Jika ditinjau perkataan budaya, kebanyakan orang menggunakan perkataan budaya intuk membawa pengertian seperti tarian, muzik, makanan ataupun pakaian. Pengertian seperti ini adalah terlalu sempit dan terhad. Berbagai-bagai cara ahli-ahli kebudayaan memberikan pengertian tentang kebudayaan.
            Pada umumya budaya dalam bahasa inggeris disebut ‘culture’ iaitu berasa daripada bahasa Latin iaitu ‘cultura’. Dalam bahasa mandarin disebut ‘Wen Hua’ dan dalam bahasa Arab disebut ‘Thaqafah’. Perkataan budaya dalah berasal daripada budi dan daya. Dua perkataan ini merangkumkan budaya. Bu membawa erti asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna, menyenangkan, bahkan dimuliakan. Daya mengandungi erti akal, jalan fikiran, ciptaan atau bikinan dan sebagainya (Asmad, 1990).
            Berdasarkan pengertian di atas maka dapatlah difahamkan bahawa perkataan budaya merangkumi segala hasil daripada akal dan pemikiran. Manusia yang asli bukan tiruan. Setiap perlakuan yang ditiru, tidaklah layak dianggap sebagai suatu hasil budaya sesuatu bangsa atau masyarakat. Oleh yang demikian contohnya, lagu dan tarian Barat dikatakan kebudayaan bukan Timur.
            Masyarakat kita contohnya, terdiri dari pelbagai etnik seperti Melayu, Cina India dan lain-lain yang mempunyai identiti budaya mereka yang tersendiri. Maka setiap tingkah laku seperti cara bekerja, cara makan dan sebagainya adalah menggambarkan budaya masyarakat tersebut. Contohnya masyarakat Melayu makan menggunakan tangan sementara masyarakat Cina makan menggunakan kayu penyepit.
            Setiap masyarakat mempunyai budaya yang tersendiri dan ia berbeza antara satu masyarakat dengan satu masyarakat yang lain. Tetapi hanya manusia sahaja mahluk di dunia ini yang mempunyai budaya atau bekebudayaan kerana manusia berakal sedangkan makhluk lain tidak mempuyai akal. Akal merupakan salah satu alat terpenting dalam kehidupan manusia. Dengal akal manusia berfikir, bergerak ,berbuat sesuatu bagi memenuhi keperluan hidupnya. Daripada segala perbuatan dan pemikiran manusia itu wujudlah budaya.

4.2 CIRI-CIRI BUDAYA
Tiap-tiap masyarakat mempunyai budaya tetapi ia berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Terdapat beberapa ciri dan aspek yang wujud dalam kalangan semua masyarakat seoerti bahasa objek, amalan agama, sistem kekeluargaan, nilai, kesenian dan sebagainya dan inilah yang kita katakan pola-pola kebudayaan sejagat atau ciri utama budaya itu.
            Oleh yang demikian, ahli-ahli sosiologi mendapati budaya mempunyai ciri-ciri yang tertentu walaupun ia berbeza antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
        i.            Perubahan
Perubahan merupakan satu sifat atau ciri penting bagi sesuatu budaya itu. Perubahan budaya ialah satu proses di mana bahagian-bahagian atau satu aspek budaya itu mengalami pengubahsuaian dari semasa ke semasa dan mengikut keadaan. Justeru itu semua budaya dalam semua masyarakat akan mengalami perubahan.
      ii.            Dipelajari
Budaya adalah dipelajari. Segala bentuk tingkah laku, adat resam yang menjadi ikutan setiap inividu dalam masyarakat seperti bentuk tingkah laku, adat resam yang diikuti ole hsetiap individu dan bahasa yang dituturi bukanlah hasil daripada nalurinya. Tetapi setiap satunya adalah dipelajari dan ianya adalah daripada proses pemelajaran. Contohnya, seseorang bayi yang dilahirkan ke dalam masyarakat akan membesar dengan mengalami proses pemelajaran bagaimana mengamalkan segala adat resam dan nilai-nilai kebudayaan masyarakatnya.
    iii.            Dikongsi bersama
Setiap budaya adalah dikuongsi bersama oleh satu kumpulan manusia. Contohnya bahasa(Melayu, Cina, India) merupakan satu sistem simbol yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara satu sama lain. Dengan itu bahasa akan dikongsi bersama-oleh satu kumpulan manusia untuk berinteraksi. Di Malaysia contohnya, bahasa Malaysia merupakan bahasa rasmi bagi semua bangsa baik Melayu, cina atau India bagi memudahkan interaksi antara satu sama lain dan kongsi bersama-sama dan ianya bukanlah hak kepada mana-mana bangsa. Oleh itu, bahasa rasmi dipelajari di institusi-institusi pendidikan. Bahasa menjadi satu sistem simbol yang digunakan dan dikongsi oleh anggota masyarakat untuk berinteraksi.
    iv.            Mempunyai nilai integratif
Satu ciri penting ialah sesuatu kebudayaan itu mempunyai nilai integratif. Umumnya, sesuatu bangsa itu disatupadukan oleh kebudayaan yang sama. Contohnya kegemaran oada sesuatu jenis makanan adalah satu ciri budaya yang mana kegemaran inilah yang membawa anggota masyarakt bersama. Begitu juga dalam bidang pakaian dan perhiasan, baju kebangsaan harus berasaskan kepada baju Melayu dan ini merupakan satu nilai integratif bila menggambarkan perpaduan ahlinya. Malaysia terutama masyarakat peribuminya mempunyai ribuan jenis pakaian daripada kepada yang ringkas kepada yang susah untuk dipakai. Seperti ‘semuntar’ orang-orang Kelantan atau setanjak atau ikat kepala dalam kalangan sukuan di Sabah dan Sarawak. Songkok itu sendiri bukan asalnya budaya Melayu tetapi daripada pengaruh India dan telah diubah dan disesuaikan, lalu dijadikan pakaian kepala kebangsaan. Dari segi rasional dan keselesaan atau kemudahan berpakaian tentulah stanjak tidak lagi sesuai, baju Melayu juga asalnya berasaskan kepada baju orang-orang Cina telah diubahsuai bagi perarakan kontinjen sukan atau memakai baju kebangsaan lengkap di dalam acara-acara rasmi negara contohnya yang mana ia mempunyai nilai integratif rakyat Malaysia.



4.3 PENTAFSIRAN TERHADAP BUDAYA
Terdapat banyak konsep budaya. Antaranya ialah Etnosentrisme. Istilah bahasa Inggeris ‘Ethnocentrisme’ ini mula digunakan oleh Willia, G.Summer. Ia bermaksud apabila seseorang itu mempunyai anggapan bahawa kepercayaan, nilai, tingkah laku anggota masyarakatnya lebih baik, betul daripada yang lain. Justeru itu ia memberi keutamaan terhadap budaya sendiri, mempunyai perasaan mengagung-agungkan kebudayaan sendiri di samping memperkecil budaya lain. Walaupun sikap etnosentrisme ini dilihat oleh ahli sosiologi membawa fungsi yang tertentu. Ia akan memperkuat unsur budaya anggota masyarakat, memupuk perpaduan antara anggota masyarakat dan membantu mengekalkan disiplin dan semangat perjuangan sesuatu masyarakat tersebut.
Konsep yang kedua ialah Xenosentrisme. Konsep ini berlawanan dengan konsep Etnosentrisme, ia memberi maksud bahawa bagaimana seseorang itu beranggapan apa yang di luar daripada masyarakatnya adlah yang terbaik bagi mereka. Apa yang dimilikinya sendiri dan pemikirannya sendiri dianggap rendah daripada di luar masyarakat. Contohnya dapat kita lihat fenomena masyarakat di Malaysia, lebih mengagung-agungkan barangan buatan negara lain daripada jenama tempatan seperti kereta buatan luar negeri, misalnya kereta dari Jepun, Amerika dan Jerman adalah lebih baik daripada kereta nasional Proton. Konsep ini juga menggambarkan anggapan terhadap cara dan corak hidup sendiri dan pemikiran sendiri adalah ‘inferior’ daripada yang di luar masyarakat dan apa yang ganjil dan jauh adalah lebih istimewa dan ‘superior’.
Konsep yang ketiga ialah Temposentrisme. Konsep ini pula membawa erti apabila seseorang itu mempunyai anggapan bahawa budaya yang dimiliki sewaktu itu adalah lebih penting dan baik jika dibandingkan daripada budaya masa lampau ataupun budaya yang akan wujud pada masa akan datang.
Konsep yang keempat ialah Relativisme budaya. Konsep ini bermaksud sesuatu budaya itu mestilah dilihat dan dinilai dalam konteks masyarakat itu sendiri bukan daripada standard masyarakat lain. Sesuatu budaya itu bukanlah ianya betul atau tidak, baik atau tidak. Ia mesti dinilai dalam konteks masyarakatnya sendiri, mungkin apa yang sesuai pada suatu masyarakat mungkin tidak sesuai dalam kalangan masyarakat lain. Contohnya cara makan antara masayrakat adalah berbeza. Masyarakat Melayu tidak boleh memandang rendah terhadap terhadap cara makan masyarakat Melayu yang menggunakan tangan. Sebenarnya anggapan ini ialah satu alternatif kepada mereka yang bersikap etnosentrik. Sikap terhadap menyetujui tentang anggapan relativisme budaya memang sukar untuk dicapai kerana ia memerlukan pemahaman yang mendalam tentang nilai dan norma sosial budaya yang lain tetapi penting dalam memperolehi kestabilan masyarakat.



5.0 ISU-ISU MELIBATKAN INDIVIDU, MASYARAKAT, DAN BUDAYA

5.1 ISU PEMBUANGAN BAYI
Pembuangan bayi dilakukan oleh wanita hasil daripada perhubungan luar nikah dan dilakukan lantaran si ibu bukan saja tidak mengingini bayi itu sebaliknya tekanan diterima masyarakat berhubung status anak berkenaan. Isu ini semakin hari semakin banyak disiarkan di dada-dada akhbar. Perbuatan ini merupakan satu perbuatan amat keji dan amat dilarang dalam ajaran pelbagai agama terutama agama Islam kerana ia memberi kesan yang amat buruk pada individu, masyarakat dan budaya dalam sesebuah kawasan.
Sementara itu, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).


Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
           
Tahun
2006
2007
2008
2009 (sehingga Mei)
Jumlah Kes
53
76
102
33

           
Menurut Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor, Ustaz Masridzi bin Sat yang ditulis dalam artikel oleh Aida Subri, menyatakan bahawa kes pembuangan bayi ini berlaku atas dua sebab, iaitu dilakukan oleh remaja yang terdesak akibat perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan. Manakala punca kedua adalah disebabkan mereka tidak tahu ke mana arah untuk mereka mengadu tentang masalah mereka. Menurut kajiannya, 90 peratus responden remaja mengatakan perbuatan mereka ini berpunca daripada ibu bapa yang tidak menjalankan peranan mereka mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
Manakala menurut laporan kes pembuangan bayi oleh Mohd Fadzly Mohd Fairuz melalui tulisannya dalam Dewan Masyarakat (ogos 2012), peningkatan kes pembuangan bayi ini terus menunjukkan peningkatan walaupun berlaku penurunan pada tahun 2007. Trend pembuangan bayi ini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan pelbagai pihak. Kajian yang dilakukan di sekitar Lembah Klang menunjukkan bayi dibuang seramai sepuluh orang sehari. Laporan ini sudah tentu mengejutkan ramai pihak dan menunjukkan nyawa seseorang itu tidak mempunyai nilai lagi. Lebih menggerunkan lagi bila mengungkap cara pembuangan bayi itu dilakukan yang beralasankan untuk menutup “malu”. Terdapat bayi-bayi yang dibuang di dalam lubang tandas, dihurungi semut dan serangga, dimakan anjing, lemas di dalam tong sampah dan sebagainya. persoalannya mengapakah perkara tidak bermoral sedemikian berlaku?
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun 2004 hingga tahun 2009, sebilangan besar individu yang terbabit dalam kes pembuangan bayi dikesan melibatkan golongan remaja yang berusia antara 18 hingga 25 tahun. status anak luar nikah menjadi faktor utama berlaku kes seperti ini kerana perasaan malu dan takut kerana hamil luar nikah yang pastinya tidak akan diterima oleh keluarga dan masyarakat sekeliling.
Hal ini sudah tentulah berkait rapat dengan institusi terdekat iaitu pihak keluarga. Keluarga yang tidak mampu mendidik anak-anak seterusnya tidak pula ingin menerima kesan buruk hasil perbuatan anak mereka menjadi punca berlaku isu pembuangan bayi ini. ibu bapa seharusnya berusaha mengukuhkan institusi kekeluargaan di samping memupuk semangat kekeluargaan dalam diri anak-anak supaya anak-anak mereka berasa disayangi dan dihargai. Paling penting ialah aspek didikan keagamaan yang perlu ditekankan dalam diri anak-anak sejak mereka masih kecil seperti mengadakan solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu dan menghadiri kenduri sanak saudara disamping menguatkan lagi semangat kekeluargaan dalam satu-satu masyarakat itu.
Selain itu, kes-kes seperti ini juga turut memperlihatkan kurangnya peranan ahli masyarakat yang lainnya seperti peranan jiran tetangga. Sikap “anak orang, anak kita” seharusnya dipupuk dalam hati jiran tetangga agar dapat menegur perbuatan remaja yang tidak baik dan sopan di kawasan kejiranan atau pun membantu memaklumkan kepada ibu bapa tentang sebarang perbuatan yang tidak sihat oleh remaja-remaja tersebut agar tindakan dapat diambil sesegera yang mungkin. Maka dapat dikatakan bahawa peranan ahli keluarga dan jiran tetangga sebagai anggota masyarakat amat penting dalam menangani isu-isu sosial yang berlaku pada hari ini.
Kesimpulannya, berdasarkan kes pembuangan bayi yang berlaku pada masa ini, setiap komponen dalam sesebuah masyarakat perlulah menjalankan peranan masing-masing terutama daripada peringkat yang paling bawah , iaitu individu, keluarga dan seterusnya masyarakat yang mana akhirnya akan membentuk budaya yang sihat. Perubahan sesuatu itu perlulah daripada yang lebih kecil, bak kata pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dalam konteks budaya keji pembuangan bayi ini, perubahan perlulah dilakukan daripada komponen asas masyarakat, iaitu individu.


6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, tidak dinafikan bahawa sememangnya wujud perhubungan antara individu, masyarakat dan budaya. Dalam membentuk sesebuah masyarakat, individu merupakan unit terpenting yang menjadi asas kepada pembentukannya, iaitu  individu-individu ini akan bergabung membentuk sebuah kumpulan kecil, kemudian berkembang menjadi beberapa kumpulan kecil dan akhirnya bergabung membentuk sebuah masyarakat yang besar. Sebagai contoh, dalam pembentukan masyarakat, ianya bermula daripada seorang lelaki atau wanita yang hidup dalam sebuah keluarga, keluarga tersebut tinggal di kampung atau di bandar. Dalam kawasan tersebut pula diduduki oleh banyak keluarga yang akhirnya bergabung membentuk sebuah masyarakat kampung atau bandar dikawasan yang didiami mereka. kebudayaan mempunyai peranan yang sangat besar terhadap individu dan masyarakat. Kewujudan globalisasi menjadikan masyarakat menjadi lebih kompleks. Perkembangan teknologi canggih menjadikan masyarakat-masyarakat yang hidup di dalam era baru itu menjadi semakin aktif dalam menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi. Hal ini mewujudkan norma-norma dan nilai-nilai kemasyarakatan yang sangat perlu untuk mengadakan tata tertib dalam pergaulan kemasyarakatan. kebudayaan mengatur agar manusia dapat mengetahui bagaimana untuk bertindak, dan menentukan sikapnya dalam berhubung dengan orang lain. Dalam erti kata lain, budaya seseorang individu itu bertindak mengawal perlakuannya dalam berinterksi di dalam kelompok masyarakat.



7.0 RUJUKAN

Drs. J.B.A.F Mayor Polak. 1971. Sosiologi Satu Buku Pengantar Ringkas. Djakarta:            Penerbit dan balai buku “ichtiar”
Janu Murdiyatmoko. 2007. Sosiologi: Memahami dan Mengkaji Masyarakat. Bandung:       Grafindo Pratama.
Joseph S. Roucek, Roland L. Warren. 1979. Sosiologi Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur:  Dewan  Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Definisi Individu. Kuala Lumpur: Dawama Sdn. Bhd
Kenneth C. W. Kammeyer, George Ritzer, Norman R. Yetman. 1990. Sociology,     Experiencing  Changing Societies. United States
Mohd Fadzly Mohd Fairuz. Ogos 2012. Buang Bayi: Bilakah Akan Berakhir. Dewan          Masyarakat: Buang Bayi: Bilakah Akan Berakhir.        dwnmasyarakat.dbp.my/?p=1568 
Mustafa Hj. Daud. 1999. Tamadun Islam Edisi Maktab Perguruan. Kuala Lumpur:          Utusan  Publications and Distributors Sdn. Bhd
Sal Restivo. 1991. The Sociological Worldview. USA
Soerjono Soekanto S.H., M.A. 1977. Sosiologi Suatu Pengantar. Yayasan Penerbit  Universitas Indonesia. 










No comments:

Post a Comment